Tuesday 13 December 2016

NASI LAN KEDAH SHAH ALAM | WARONG HUNTER

,,,

POPULARITI nasi kandar sememangnya cukup menakjubkan sehinggakan hidangan itu bukan sahaja menjadi bualan masyarakat di utara Semenanjung, malah turut digemari di mana-mana pelusuk tanah air.

Hanya dengan sepinggan nasi dan pilihan pelbagai lauk di samping campuran kuah yang tepat pastinya menambat selera sesiapa sahaja yang menjamahnya.

Kini, Nasi Lan Kedah yang terkenal di Alor Setar, Kedah turut berada di Shah Alam apabila anak kepada pengasasnya membuka cawangan di Bandar Raya Anggerik ini.

Pengurus Nasi Lan Kedah, Muhammad Firdaus Mohd. Azlan, 25, anak ketiga daripada lima adik beradik ini mula berjinak-jinak dengan perniagaan sejak kecil apabila bapanya membuka kedai di Bangunan Peruda, Alor Setar.

Mesra disapa Firdaus, anak muda ini menyambung legasi yang dipelopori ayahnya sejak 34 tahun lalu dengan membuka cawangannya pada Mei lalu.

Firdaus berkata, pilihan rempah ratus yang menjadi rahsia keenakan adunan kuah dan nasi yang dihidangkan kepada pelanggan itu diambil dari utara tanah air seperti mana resipi yang digunakan di Alor Setar.

“Resipi turun temurun ini memang dijaga dan saya sendiri menyediakan makanan dan pes rempah ratus.
“Ini bagi memastikan rasa dan aroma tetap sama dan keenakan kekal sama seperti di Alor Setar,” katanya kepada S2.

Katanya, sambutan terhadap Nasi Lan Kedah amat baik kerana ada masanya pelanggan terpaksa beratur sehingga ke luar kedai untuk menikmati juadah.

“Kadangkala mencecah 1,000 pelanggan, lebih-lebih lagi pada waktu makan tengah hari. Malah ada yang datang dari Negeri Sembilan dan Melaka.

“Ada kalanya juga kedai terpaksa ditutup awal kerana lauk-pauk sudah habis ,” ujarnya.
Menurutnya, antara lauk yang menjadi kegemaran pelanggan adalah sotong kembang masak sambal, daging hitam, telur sotong dan ayam goreng kunyit.

Selain itu, konsep kedai yang santai memberi keselesaan kepada penggemar nasi kandar untuk menikmati hidangan dengan harga berpatutan.

“Harga makanan bergantung kepada saiz lauk. Ia serendah RM2.50 sehingga RM20 untuk satu hidangan ,” jelasnya.

Bagi melebarkan lagi perniagaannya, dia turut menyediakan perkhidmatan penghantaran serta memperkenalkan aplikasi pesanan makanan, makan2u yang boleh dimuat turun di Playstore yang membolehkan pelanggan membuat tempahan menerusi telefon pintar.

“Pihak kami juga merancang menggunakan trak makanan (food truck) di sekitar Bandar Tun Razak bagi membolehkan peminat nasi kandar merasai Nasi Lan Kedah. Selain itu, kami berhasrat untuk membuka sebuah lagi cawangan di Bangi,” katanya.

Restoran ini dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi sehingga 
8 malam manakala Sabtu dan Ahad sehingga 4 petang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/pelancongan/nasi-lan-kedah-kekal-resipi-turun-temurun-1.267859#sthash.sZdpSjNv.dpuf


EmoticonEmoticon